KHAZAN (kanan) tidak gentar bertanding di kubu kuat BN DUN Seberang Takir. FOTO Malik Muhamad
KHAZAN (kanan) tidak gentar bertanding di kubu kuat BN DUN Seberang Takir. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Calon BERSATU yang mewakili Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat dakwa tidak gentar berdepan sifunya, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman walaupun kawasan berkenaan adalah kubu kuat BN.

Sebaliknya Khazan yakin mampu memecahkan tembok kemenangan BN di kawasan itu pada pilihan raya negeri (PRN) ke-15 pada 12 Ogos depan.

Khazan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Terengganu ketika bersama BN berkata, keyakinan itu berdasarkan sokongan padu yang diterima khususnya pada Pilihan Raya Umum (PRU) tahun lalu.

Tambah Khazan yang lebih mesra dipanggil ustaz, gelombang politik semasa juga menyaksikan anak muda khususnya sudah beralih kepada PN berbanding BN.

DUN Seberang Takir menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Khazan dan Ahmad Razif yang juga penyandang kerusi itu sejak 2008 selain bekas Menteri Besar.

"Saya tahu BN tidak pernah kalah di DUN Seberang Takir, tapi pada kali ini kita akan pastikan BN tewas.

"Saya tidak gentar malah optimis mampu mencipta kejutan lebih-lebih lagi melihat gelombang atau perubahan rakyat pada hari ini yang menyokong PAS," katanya ketika ditemui selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Sivik Seberang Takir, hari ini.

Pada PRN ke-14 2018, Ahmad Razif yang lebih mesra dipanggil Cikgu menang dengan majoriti 1,884 undi menewaskan calon PAS, Mohd Fazil Wahab.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 2:34 PM