PENGERUSI Barisan Nasional Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid. FOTO Bernama.
PENGERUSI Barisan Nasional Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid. FOTO Bernama.
Noorazura Abdul Rahman


Kuala Nerang: Dakwaan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung plot untuk mengenakan dirinya sekadar memberi gambaran seolah-olah dirinya teraniaya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dakwaan seperti itu tidak sepatutnya terus dijaja Muhammad

Sanusi berikutan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sudah menjawab isu berkenaan.

"Tak ada orang nak reka sesuatu macam itu semata-mata untuk tangkap orang. Kalau pihak berkuasa panggil, mesti ada sebab.

"Ada orang hidup sampai 80 tahun tetapi tak pernah mana-mana agensi panggil pun. Maknanya dalam kehidupan kita ini, ada kebebasan yang diberi kepada setiap warga negara dan jika tak perlu, tak ada siapa nak panggil.

"Saya ingat orang yang duduk di kampung ini, tak ada siapa pun nak panggil kecuali ada masalah," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Gerak Kerja Pilihan Raya Negeri Kedah Dewan Undangan Negeri (Dun) Pedu dan Kuala Nerang di sini, hari ini.

Mengulas mengenai cabaran dibangkitkan Muhammad Sanusi agar beliau menjawab mengenai pembangunan Jerai International Park yang menyebabkan kerajaan negeri disaman dan perlu membayar RM21 juta selepas rundingan 30 tahun, Mahdzir berkata, perkara itu sudah terlalu lama berlalu.

"Mengenai pemindahan wang ke Kanada bernilai RM13 juta yang turut diminta saya jawab, sebelum ini beliau sendiri yang kata bahawa perkara itu berlaku sewaktu Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjadi Menteri Besar. Saya sendiri pun tak tahu mengenai hal itu," katanya.

Mengenai kenyataan Muhammad Sanusi yang tidak akan menjawab isu berkenaan perlombongan unsur nadir bumi (REE) dibangkit ahli politik, Mahdzir berkata, beliau hanya bertanya mengenai persoalan yang ingin diketahui rakyat.

"Beliau kata hanya mahu jawab kepada pihak berkuasa maka terpulanglah. Dia mengatakan kita ini seolah-olah pihak berkuasa, sedangkan kita tanya bagi pihak rakyat.

"Tetapi saya tetap mahu ulang soalan kepadanya sama ada REE yang dilombong di Bukit Enggang, Sik itu sudah diluluskan oleh Jabatan Perhutanan, Pejabat Tanah dan Galian dan Jabatan Alam Sekitar?

"Jika semua agensi telah memberikan kelulusan mereka, maka tidak mengapa. Balas sahaja kepada orang ramai. Saya hanya bertanya bagi pihak rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 8:32 PM