MOHAMED Azmin membaca ikrar bersama calon-calon yang bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor. FOTO Aswadi Alias
MOHAMED Azmin membaca ikrar bersama calon-calon yang bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor. FOTO Aswadi Alias
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Petaling Jaya: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan beliau 'lari' dari kerusi yang disandang olehnya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu iaitu Bukit Antarabangsa.

Sebaliknya katanya, kerusi Hulu Kelang yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini adalah kerusi pertama beliau mendapat mandat daripada rakyat sejak 1999.

"Ketika saya menjadi Ahli Parlimen Gombak selama tiga penggal mulai tahun 2008 sehingga baru ini, Hulu Kelang adalah sebahagian Parlimen Gombak.

"Jadi tidak timbul saya lari dari satu kawasan ke kawasan lain. Sebagai pemimpin, kita harus bersedia memberikan khidmat di mana jua yang diperlukan rakyat," katanya kepada pemberita selepas pengumuman calon PN Selangor di Taman Medan hari ini.

Terdahulu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Mohamed Azmin akan bertanding mewakili gabungan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang.

Mengulas mengenai mengapa mengambil keputusan untuk bertanding, bekas Menteri Kanan Antarabangsa dan Industri itu mengakui pada asalnya beliau berhasrat untuk berehat buat sementara waktu.

Bagaimanapun katanya, parti meminta dirinya untuk mengambil bahagian dalam PRN kali ini berdasarkan kepada situasi semasa.

"Maka saya akur arahan Presiden Bersatu (Muhyiddin) dan juga Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk saya bersama dengan rakan-rakan lain menyertai pilihan raya kali ini.

"Saya menerima tanggungjawab ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan akan bekerja kuat sedaya upaya untuk memastikan PN menang di Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 12:43 AM