Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Bekas Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM).

Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie di akhir kes pendakwaan itu.

Dalam penghakimannya, Rozina berkata, mahkamah berpendapat dengan sekadar mengutarakan cadangan untuk menangguhkan pelantikan operator adalah tidak memadai untuk mensabitkan tertuduh.

"Mahkamah juga mendapati tiada bukti menunjukkan tertuduh membuat keputusan sendiri dalam melantik LLPM sebaliknya semua keputusan dalam mesyuarat dibuat secara kolektif dan bukan secara individu.

"Oleh itu, pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan tertuduh kamu dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri," katanya.

Katanya, tiada pelantikan operator bagi dermaga pelabuhan yang dibuat pada tarikh 21 Mac 2018 yang mana pada tarikh berkenaan keputusan mesyuarat Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) hanyalah untuk menangguhkan pelantikan operator baru sehingga tarikh pelabuhan diadakan dan wartakan.

ROZMAN dibebaskan atas pertuduhan menggunakan kedudukan dalam mendapatkan kontrak pekerjaan bagi LLPM di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Saifulizan Tamadi
ROZMAN dibebaskan atas pertuduhan menggunakan kedudukan dalam mendapatkan kontrak pekerjaan bagi LLPM di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Saifulizan Tamadi

Justeru, dakwaan adanya lantikan operator dermaga pelabuhan yang mana adalah subjek asas pertuduhan adalah tidak berasas dan gagal dibuktikan oleh pihak pendakwaan.

"Pihak pendakwaan juga gagal membuktikan asas tertuduh membuat dan meminta untuk mengambil apa-apa tindakan kepada LLPM sebagai operator, sebaliknya terdapat keterangan yang bertentangan dengan pendakwaan pertuduhan dari saksi pendakwaan yang menyatakan antara lain bahawa dalam mesyuarat jawatankuasa LLPM.

"Mahkamah mendapati tiada sebarang keterangan dari mana-mana saksi pendakwaan yang dapat menunjukkan tertuduh cuba untuk mengemudi mesyuarat untuk mencari jalan hanya syarikat LLPM dilantik seperti didakwa," katanya.

Rozina berkata, mahkamah mendapati kegagalan pihak pendakwaan memanggil Datuk Seri Wee Jeck Seng selaku Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan (ketika itu) yang mempunyai kuasa tertinggi dalam struktur lembaga untuk memberi keterangan mencetus bukti tidak meyakinkan (adverse inference).

"Tanpa keterangan Wee, persoalan berkenaan atau isu pengaruh pandangan tertuduh dalam capai keputusan yang dibuat oleh mesyuarat berkenaan masih tidak terjawab," katanya.

Rozman, 59, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi LLPM, yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi manakala peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Rozman.

Pada 6 Mac lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 24 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula 11 Ogos tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 3:25 PM