Suraya Ali


Kuala Lumpur: Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan parti itu tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Sebaliknya menurut Mukhriz, Pejuang akan memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum ke-16.

Ditanya sama ada jika diberi peluang untuk bertanding dalam PRN oleh Perikatan Nasional (PN), Mukhriz berkata untuk tempoh tiga minggu akhir agak terlewat untuk pihaknya mempertimbangkan tawaran itu.

Mengakui ada usaha daripada bapanya, Tun Mahathir Mohamad untuk Pejuang bertanding, pihaknya masih belum menerima maklum balas rasmi dari PN mengenai perkara itu.

"Lebih baik kami (Pejuang) tumpu kepada perkukuhkan parti dan kekal berprinsip terhadap perjuangan kami," katanya pada sidang media selepas program amanat Presiden Pejuang bersama ahli pimpinan negeri dan sayap parti.

Mukhriz berkata pihaknya sudah memaklumkan kepada Tun Mahathir hasrat Pejuang untuk tidak bertanding dalam PRN akan datang.

"Berundur setapak bukan bererti berundur selamanya, kita akan terus menegakkan prinsip perjuangan parti,

"Kami (Pejuang) bersetuju dengan kenyataan Tun Mahathir bahawa undi Melayu tidak seharusnya dipecahkan,' katanya.

Katanya, jika ada tawaran saat akhir untuk bertanding dalam PRN pihaknya dengan rendah diri terpaksa menolaknya.

Mukhriz berkata keputusan untuk tidak bertanding itu diputuskan di mesyuarat Exco Pejuang minggu lalu.

Walaubagaimanapun, Mukhriz berkata pihaknya tidak menghalang jentera partinya turun padang dan membantu calon parti lain.

"Kami tidak halang, tetapi jangan guna nama Pejuang secara rasmi. Itu hak mereka secara individu namun tidaklah sehingga mereka naik ke pentas dan berceramah untuk parti lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 4:56 PM