MUSA menunjukkan fius utama (dalam bulatan) rumahnya yang terbakar menyebabkan dia memanjat pintu jeriji besi untuk minta bantuan.
MUSA menunjukkan fius utama (dalam bulatan) rumahnya yang terbakar menyebabkan dia memanjat pintu jeriji besi untuk minta bantuan.

Alor Gajah: Tindakan nekad seorang warga emas orang kurang upaya (OKU) cuba memanjat pintu jeriji besi sambil menjerit meminta tolong berjaya menyelamatkan rumahnya daripada hangus terbakar di Jalan Felcra, Kampung Ayer Molek, Kuala Sungai Baru, di sini, semalam.

Kejadian jam 7 pagi itu disedari mangsa, Musa Thambi, 71, yang lumpuh separuh badan ketika menonton televisyen di ruang tamu selepas mendengar bunyi letupan kecil sebelum terhidu bau hangit.

Musa berkata, dia kemudian melihat asap hitam pada siling rumahnya dan khuatir perkara buruk berlaku, dia yang berkerusi roda mencari punca bau berkenaan sebelum mendapati fius utama terbakar.

“Melihat keadaan itu, saya segera menjerit meminta anak bongsu, Suraidura, 24, yang cacat penglihatan keluar dari bilik air untuk menyelamatkan diri kerana bimbang rumah akan terbakar.

“Apabila mendapati pintu jeriji besi hadapan berkunci, saya nekad memanjat sedikit pintu itu untuk membuka selak sambil menjerit meminta bantuan untuk keluar menyelamatkan diri bersama anak,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurutnya, jeritannya didengari beberapa jiran yang kebetulan berada di hadapan rumahnya ketika kejadian sebelum mereka menghubungi bomba bagi memadamkan kebakaran.

“Ketika itu saya hanya mampu berdoa dan bertawakal serta berzikir supaya kami dua beranak selamat. Saya mengerah segala kudrat yang ada untuk membuka selak pintu dan syukur kami berdua berjaya menyelamatkan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah Mohd Norr Rauf berkata, tujuh anggota bersama pegawai bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan telefon mengenai kebakaran terbabit.

Katanya, sebaik tiba, api sudah dipadamkan orang awam dan pemeriksaan di kediaman berkenaan mendapati dua beranak itu dalam keadaan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:14 AM