SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. FOTO Danial Saad
SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. FOTO Danial Saad
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan surat tunjuk sebab diterima PKR dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berkaitan aduan anggota parti dan bukan untuk membatalkan keputusan pemilihan PKR pada 2022.

Beliau berkata, ROS memberi tempoh dua minggu kepada PKR untuk menjawab surat itu sekiranya tidak mahu parti dibatalkan.

Katanya, dakwaan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin kononnya beliau pernah merayu untuk membatalkan keputusan pemilihan PKR pada 2022 selepas tewas kepada Rafizi Ramli itu hanyalah kenyataan politik.

"Surat ROS itu bukan berkaitan nak batalkan keputusan pemilihan , itu kenyataan politik (Hamzah), itu biasalah musim sekarang (pilihan raya).

"Surat tunjuk sebab RoS itu kerana aduan anggota parti termasuk berkait soal masalah disiplin ahli, jadi saya sebagai Setiausaha Agung parti perlu menjawab surat RoS itu," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Semalam, Hamzah mendakwa Saifuddin Nasution pernah merayu kepada beliau untuk membatalkan keputusan pemilihan PKR pada 2022 selepas tewas kepada Rafizi.

Hamzah dipetik berkata, pemimpin PKR itu ada berjumpa dengannya selepas seminggu kalah dalam saingan merebut jawatan nombor dua parti ketika pemilihan itu.

Saifuddin Nasution berkata, beliau memberi jawapan sebanyak dua kali kepada RoS susulan surat tunjuk sebab itu.

"Jika sekiranya saya mahu PKR dibatalkan, saya tak payah jawab surat itu, maksudnya saya tak payah jumpa menteri ketika itu untuk batalkan parti.

"Bila saya sebagai Setiausaha Agung jawab bermaksud memberi sebab dan alasan kenapa parti tidak patut diharamkan.

"Kalau nak dikata sebab kalah kepada Rafizi kemudian nak minta parti dibatalkan, saya tidak payah jawab surat itu, semudah itu hendak batalkan parti pada waktu itu

"ROS juga bagi tempoh dua minggu, kalau tak jawab batal parti, itu mengikut Akta Pertubuhan.

"Hakikatnya, saya jawab surat kepada ROS, bukan sekali tapi dua kali. Itu dengan sendirinya menunjukkan bahawa komitmen saya untuk menghidupkan parti sesuai saya sebagai Setiausaha Agung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 12:03 PM