SAIFUDDIN bersama Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Muez Abdul Aziz ketika sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan kementeriannya di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
SAIFUDDIN bersama Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Muez Abdul Aziz ketika sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan kementeriannya di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Noor Atiqah Sulaiman


SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin bukan sahaja menerima surat tunjuk sebab atas salah laku disiplin tetapi turut menerima satu surat saman darinya untuk dijawab.

Saifuddin berkata, surat tunjuk sebab itu dikeluarkan oleh Lembaga Disiplin parti, manakala surat saman dikeluarkan oleh peguamnya kerana Zuraida didakwa mengeluarkan pertuduhan fitnah terhadap dirinya.

“Selain surat yang dikeluarkan oleh Lembaga Disiplin, saya ada bagi satu lagi surat saman, surat itu dikeluarkan secara peribadi dan tiada kena mengena dengan parti.

“(Surat saman itu mengandungi) ucapan dia yang mengandungi unsur pertuduhan dan fitnah terhadap saya, dan saya minta peguam saya untuk menghantar (surat saman),” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), di sini hari ini.

Dalam majlis berkenaan, Saifuddin yang juga Menteri KPDNHEP turut merasmikan wajah baharu portal kementerian berkenaan supaya ia lebih mudah menyalurkan maklumat kepada pengguna.

Penambahbaikan baharu yang dibuat pada laman web berkenaan dikatakan lebih mesra pengguna dengan reka bentuk yang lebih responsif serta lebih mudah dicapai untuk akses lokasi pengguna.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada surat tunjuk sebab yang diberikan kepada Zuraida itu sudah dibalas atau sebaliknya, Sifuddin pihaknya tidak mengetahui hal berkenaan kerana ia di bawah kuasa Lembaga Disiplin.

“Saya tidak tahu sama ada dia dah bagi surat atau belum (jawab surat tunjuk sebab), yang saya tunggu dari Zuraida ialah satu surat saman yang diberikan kepadanya, itu sahaja,” katanya.

Pada 18 Januari lalu, media melaporkan Zuraida diberi tempoh 14 hari bagi menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan ke atasnya atas dakwaan salah laku disiplin.

Lembaga Disiplin PKR sebelum ini dilapor memulakan siasatan pelbagai laporan salah laku membabitkan ahli dan pemimpin kanan parti termasuk Zuraida dipercayai berkait dengan insiden ketika dan selepas Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka, Disember lalu.

Zuraida dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara pemimpin yang memboikot hari terakhir kongres namun mengadakan satu majlis makan malam di Kuala Lumpur pada hari yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 3:33 PM