LAPORAN Harian Metro sebelum ini
LAPORAN Harian Metro sebelum ini
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mempertingkatkan kesiapsiagaan penguatkuasaan bagi mengecilkan risiko tindakan agresif bot nelayan asing.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Laksamana Madya Maritim Hamid Mohd Amin berkata, tindakan itu diambil bagi mengelakkan kejadian seperti di perairan Kuala Terengganu pada 5 Julai lalu berulang.

"Nelayan asing terutamanya dari negara Vietnam kembali agresif sehingga mendatangkan ancaman bahaya kepada pegawai dan anggota penguat kuasa yang bertugas di laut.

"Berkaitan kejadian seorang pegawai APMM Terengganu cedera parah di kepala akibat ditetak oleh salah seorang nelayan asing warga Vietnam ketika pasukan berkenaan menjalankan operasi di kawasan perairan Kuala Terengganu pada 5 Julai lalu, APMM ingin memaklumkan agensi ini sedang menjalankan siasatan berkaitan insiden berkenaan, "katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa menilai dan mengambil tindakan pengukuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dari semasa ke semasa agar penguatkuasaan yang dilaksanakan berkesan seiring dengan perubahan dan ancaman semasa.

Pada 5 Julai lalu, pegawai APMM Terengganu parah di kepala akibat ditetak nelayan warga Vietnam.

Kejadian berlaku ketika Leftenan Muda Maritim Shakir Zufayri Azizul Rahman, 27, bersama pasukannya menjalankan operasi di kira-kira 148 batu nautika dari Kuala Terengganu, pada 11.30 pagi.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Khairul Anuar Abd Majid dilaporkan berkata, terdahulu, mangsa bersama-sama 18 pegawai dan anggota Kapal Maritim (KM) Gemia menahan sebuah bot yang disyaki nelayan asing sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan perairan berkenaan.

Namun, katanya, ketika pemeriksaan kesemua kru bot nelayan Vietnam berkenaan bertindak nekad dengan menyerang pegawai dan anggota APMM yang berada di dalam bot.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 12:55 PM