AL-SULTAN Abdullah diiringi Muhyiddin dan Zulkifli ketika hadir pada Majlis Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M. FOTO Aizuddin Saad
AL-SULTAN Abdullah diiringi Muhyiddin dan Zulkifli ketika hadir pada Majlis Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M. FOTO Aizuddin Saad
Raja Noraina Raja Rahim


SAMBUTAN Maal Hijrah 1442H/2020M kali ini amat bermakna apabila disambut dalam situasi umat Islam dan seluruh dunia sedang bergelut dengan pandemik Covid-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

"Namun, alangkah beruntungnya umat Islam apabila peristiwa hijrah Rasulullah SAW menjadi pedoman yang tidak ternilai akan erti sebuah perjuangan.

"Moga dengan semangat hijrah ini, kita jelmakan dalam mengharungi hari mendatang dengan norma baharu yang berbeza dengan hari sebelumnya.

"Bagi insan bercirikan rabbani, semua itu tetap cekal digagahi demi mencapai reda Ilahi," katanya berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H/2020M di Masjid Negara di Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan berangkat dan mengurniakan anugerah Tokoh Maal Hijrah 1442H.

Turut berangkat mencemar duli, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Hadir sama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tema sambutan kali ini ialah, 'Ummah Rabbani Negara Harmoni' iaitu menguruskan penghijrahan yang berlaku dalam masyarakat memerlukan kepada kekuatan modal insan, ilmu dan pengetahuan serta kecekapan pengurusan.

Ketiga-tiga aspek itu terangkum dalam konsep ummah Rabbani yang bukan memberi fokus kepada urusan ukhrawi tetapi turut memberi penekanan kepada urusan mentadbir duniawi dari segenap aspek termasuk ekonomi, politik, kesihatan, kebajikan dan lain-lain.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, Sarjana Islam, Syeikh Said Hawa pernah berkata muslim Rabbani ialah mereka yang berilmu, mengabdikan diri kepada Allah SWT dan bersifat zuhud iaitu menerima ketentuan Ilahi.

"Semoga dengan menjiwai nilai hijratun Nabi, disulami dengan kefahaman terhadap ummah Rabbani, Malaysia akan kekal sebagai sebuah negara aman harmoni," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 7:44 PM