MAIWP tawar kursus kedi profesional kepada asnaf.
MAIWP tawar kursus kedi profesional kepada asnaf.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kebiasaannya golongan asnaf dibantu meneruskan hidup menerusi bantuan dalam perniagaan, namun lain pula inisiatif dilakukan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang menawarkan kursus kedi profesional.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) MAIWP Mohd Nizam Yahya berkata, inisiatif baru itu dengan kerjasama Kreatif Golf Ideal untuk golongan asnaf di Wilayah Persekutuan menjadi kedi profesional.

"Kedi Profesional adalah satu kerjaya di mana mereka akan menjadi pembantu pemain golf.

"Kursus ini bertujuan melatih golongan asnaf yang berminat untuk mengikuti latihan profesional secara percuma.

"Selepas tamat latihan, mereka akan mendapat peluang pekerjaan dengan elaun sebanyak RM1,200 dan boleh mencecah sehingga RM5,000 termasuk komisen," katanya di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP berkata, pihaknya bukan hanya menyalurkan bantuan zakat semata-mata tetapi juga turut meneroka ruang dan peluang bersama badan korporat atau profesional bagi melatih asnaf yang mana bertujuan memberikan mereka pendapatan tambahan.

"Menerusi program ini, MAIWP berharap dapat meningkatkan taraf hidup asnaf dan akhirnya mengeluarkan mereka daripada kemiskinan.

"Peluang kerjaya ini dilihat bersesuaian pada masa kini di mana ramai asnaf yang mungkin kehilangan kerja dan pendapatan berikutan penularan pandemik Covid-19," katanya.

Mengulas mengenai mengapa kursus kedi menjadi pilihan MAIWP, Mohd Nizam berkata, ia adalah bagi mempelbagaikan tawaran bagi menarik minat asnaf yang mempunyai kecenderungan dan minat yang pelbagai.

"MAIWP sebelum ini turut menawarkan peluang kerjaya dalam beberapa bidang lain seperti kimpalan, elektrik, automotif, binaan bangunan dan 'aircraft ground handling'.

"Semua kursus ini dilakukan dengan kerjasama pihak swasta yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing," katanya.

Menurutnya, bagi memudahkan pemilihan, MAIWP akan menawarkan peluang ini kepada penerima bantuan MAIWP sedia ada yang termasuk dalam asnaf fakir dan miskin.

"Program ini baru dibuka semalam dan akan berterusan selagi mendapat sambutan ramai.

"Ia terbuka kepada rakyat Malaysia tidak kira wanita dan lelaki berusia 18 hingga 35 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 1:58 PM