SUSPEK menyamar polis ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Keningau. FOTO Ihsan Polis
SUSPEK menyamar polis ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Keningau. FOTO Ihsan Polis
Juwan Riduan


Keningau: Tindakan seorang lelaki menyamar sebagai anggota polis mengundang padah, apabila dia ditahan polis di sekitar bandar ini, semalam.

Suspek warga tempatan berusia 22 tahun ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau ketika menjalani penugasan Op Samseng Jalanan, 2 petang.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, ketika ditahan suspek menggunakan pakaian preman dan vest warna hijau tertera tulisan 'polis'.

"Ketika diminta untuk menunjukkan identiti polis dan MyKad bagi tujuan pemeriksaan dan pengesahan, suspek gagal kemukakan kepada polis.

"Suspek kemudian dibawa ke IPD Keningau untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan polis turut membuat rampasan beberapa barangan lain serta motosikal yang ditunggang suspek.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 9:37 AM