HOSPITAL Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang. FOTO Arkib NSTP
HOSPITAL Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Shah Alam: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang akan menjalankan siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak berusia 10 tahun ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan, baru-baru ini.

Pengarahnya, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata, pihaknya merujuk kepada video yang tular menerusi aplikasi TikTok berkaitan perkara terbabit.

Beliau berkata, kanak-kanak itu hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR bersama bapanya pada 9 Julai lalu.

"Keadaan pesakit (kanak-kanak) semasa di HTAR dalam keadaan lemah. Pesakit sudah diberikan rawatan yang sewajarnya oleh pakar perubatan kecemasan, namun pesakit tidak dapat diselamatkan.

"Punca kematian masih dalam siasatan Jabatan Perubatan Forensik HTAR," katanya pada kenyataan.

Menurut Dr Zulkarnain, pihaknya bersimpati dengan perkara dilalui keluarga Allahyarham dan akan berhubung dengan pihak keluarga untuk perbincangan lebih lanjut berkaitan kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 3:43 PM