Noor Hisham.
Noor Hisham.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan bertindak lambat merawat kanak-kanak ditemui lemah di Taman Sri Muda, Shah Alam, di sini, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kejadian bermula daripada abangnya berusia 15 tahun dan kakaknya, 8, disusuli kanak-kanak terbabit berusia setahun 11 bulan.

Beliau berkata, mereka mengalami gejala muntah-muntah kelmarin dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

"Kanak-kanak itu mulai muntah pada 8.30 malam tadi, kemudian kelihatan letih dan kurang aktif.

"Bapanya menghubungi 999 pada 10 malam untuk meminta bantuan kecemasan, seterusnya mereka sekeluarga dibawa ke Klinik Medan KKM di Taman Sri Muda pada 0.30 malam hari sama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kanak-kanak terbabit kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang bagi rawatan susulan, manakala abang dan kakaknya diberi rawatan pesakit luar di Klinik Medan KKM dan dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga.

Beliau berkata, pada mulanya, kanak-kanak terbabit diletakkan di triage merah kerana mengalami dehidrasi lima peratus. "Bagaimanapun, memandangkan bacaan utama tahap kesihatan secara keseluruhan adalah memuaskan, dia dipindahkan ke Zon Kuning dan diberikan rawatan cecair intravena (IV).

"Disebabkan kanak-kanak itu menunjukkan respon positif dan semakin pulih, dia seterusnya diberikan rawatan lanjut sebagai pesakit dalam di wad kanak-kanak Kompleks Ibu dan Bayi (KRIBA) HTAR," katanya.

Beliau berkata, diagnosa definitif adalah Acute Gastroenteritis (AGE)dengan lima peratus dehidrasi dan kejadian AGE dalam keluarga itu iberpunca daripada bahan mentah makanan yang rosak dan faktor kebersihan terjejas akibat banjir.

Menurutnya, KKM memaklumkan tiada isu kelewatan respon kesihatan yang berlaku berkaitan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 7:54 PM