HOSPITAL Medan. FOTO arkib NSTP
HOSPITAL Medan. FOTO arkib NSTP
Ruwaida Md Zain


Klang: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengadakan lawatan mengejut ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini malam tadi.

Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata, Dr Adham hadir bersama Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago ke HTAR antara jam 7.45 hingga 9 malam.

"Sebelum ini, Menteri Kesihatan ada memaklumkan dalam Sidang Mesyuarat Khas Parlimen di Dewan Rakyat beliau akan melawat HTAR bersama Ahli Parlimen Klang.

"Semalam, beliau mengotakan janjinya untuk membawa Ahli Parlimen Klang secara lawatan mengejut ke HTAR.

"Dalam lawatan itu, beberapa perkara turut dibincangkan termasuk usaha melancarkan pengurusan pesakit Covid-19 di sini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Zulkarnain berkata, pada pertemuan itu juga pihaknya dimaklumkan mengenai rancangan pembinaan hospital medan di HTAR.

"Hospital medan ini dijangka didirikan di tempat letak kenderaan bersebelahan jabatan kecemasan HTAR dan akan diuruskan oleh Mercy Malaysia," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Charles pula menyatakan komitmen untuk membantu menguruskan penghantaran pesakit bergejala sekitar Klang ke HTAR.

"Kita difahamkan usaha Parlimen Klang ini bagi membantu menangani isu kekurangan ambulans di HTAR pada ketika ini.

"Jadi, usaha ini membolehkan rawatan segera diberikan kepada pesakit yang dibawa oleh pihak mereka.

"HTAR akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak Charles kerana mereka perlu bersedia dari segi sumber manusia untuk mengendalikan kenderaan berkenaan, mereka perlu bersiap siaga 24 jam pada bila-bila masa serta memberikan maklumat lengkap lokasi dan sebagainya," katanya.

Dr Zulkarnain berkata, selesai lawatan di HTAR, Dr Adham bersama beliau mengadakan tinjauan ke Hospital Pakar Kanak-kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang akan menempatkan pesakit Covid-19.

"Pesakit Covid-19 kategori tiga hingga lima di HTAR akan dipindahkan di HPKK UKM sebaik mula beroperasi kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 3:08 PM