RUSLI (kanan) terpaksa meminta bantuan Badaruddin kerana tidak berupaya menguruskan diri dan anaknya. FOTO Ihsan pembaca.
RUSLI (kanan) terpaksa meminta bantuan Badaruddin kerana tidak berupaya menguruskan diri dan anaknya. FOTO Ihsan pembaca.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kerana tidak mampu untuk menguruskan diri dan menjaga anak kurang upaya (OKU), seorang warga emas nekad menghubungi aktivis Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) untuk meminta bantuan.

Rusli Sabudin, 73, terpaksa mengambil jalan 'akhir' itu selepas tidak tahu lagi bagaimana untuk meneruskan hidup dalam keadaan uzur selepas menderita diabetes dan sakit badan sejak lebih 10 tahun lalu.

Lebih perit, pesara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor itu menjaga anaknya yang juga seorang OKU selepas isterinya meninggal dunia dua tahun lalu.

Katanya, setiap hari dia mengharapkan bantuan jiran terdekat untuk membeli keperluan harian selain anak saudara yang menghantar makanan untuk mereka berdua.

"Saya tidak tahu nak buat apa lagi. Nak berjalan pun susah, nak masak tak boleh. Keadaan rumah juga berselerak dan rosak.

"Sebelum ini ketika badan masih kuat, saya gagahkan diri ke surau. Kadang-kadang ada makanan disediakan. Jika tidak saya terpaksa harapkan jiran.

"Ada ketikanya, saya dan anak tak makan selama tiga hari kerana tiada siapa yang boleh bantu. Kalau boleh, saya tak nak susahkan orang," katanya yang meminta bantuan aktivis MAPIM Badaruddin Dawam, baru-baru ini.

Sementara itu Badaruddin berkata, setiap hari Rusli akan dibantu oleh jiran-jiran di Seksyen 24, Shah Alam untuk membeli makanan.

Selain itu, anak saudara bekas pemandu PKNS itu juga akan datang dari Klang semata-mata menghantar makanan untuk dua beranak itu.

Katanya, pihaknya menghulurkan bantuan segera kepada Rusli bagi meringankan beban yang ditanggung.

"Sedih melihat keadaan dia yang tidak upaya menguruskan diri, rumah dan seorang anak OKU berusia 31 tahun.

"Mujur jiran-jiran di sini baik hati dan sering membantu. Difahamkan, sebelum ini dia juga menerima bantuan lain, tetapi diberhentikan.

"Saya akan semak dengan pihak berkuasa bagi mengetahui puncanya," katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun Rusli 7010551632 (CIMB).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 8:12 PM