Gambar hiasan
Gambar hiasan
Asrol Awang

Kuantan: Pelajar Tingkatan Enam rugi RM22,300 selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud, yang disertai menerusi aplikasi Telegram.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pelajar perempuan berusia 19 tahun itu mengetahui mengenai pelaburan berkenaan selepas melihat iklan di Facebook pada 14 Disember lalu.

Katanya, mangsa dijanjikan pulangan lumayan dalam tempoh tiga jam dan memindahkan wang RM1,000 ke akaun suspek, sebelum diberi ID dan kata laluan bagi laman sesawang skim pelaburan itu.

"Dalam akaun terbabit, mangsa mendapati dia bakal meraih pulangan RM16,000 tetapi suspek mengarahkannya membuat sejumlah bayaran sebelum dapat mengeluarkan wang berkenaan.

"Mangsa membayar sehingga RM22,300 dan siasatan mendapati sumber wang (yang dibayar) adalah daripada wang simpanannya yang juga wang pusaka arwah ibu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan beliau turut menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

"Jika ragu, buat semakan atau mendapatkan maklumat daripada agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 12:16 PM