TANGKAP layar video tular di media sosial
TANGKAP layar video tular di media sosial
Omar Ahmad


Johor Bahru: Tiga lelaki yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan menggunakan senjata ditahan, dalam dua serbuan berasingan di bandar raya ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki berusia 26 hingga 28 tahun itu ditahan susulan video tular pergaduhan sekumpulan individu di hadapan sebuah premis, dipercayai berlaku 12.48 tengah malam semalam.

"Punca kejadian masih dalam siasatan. Kesemua suspek ditahan pada lebih kurang 1.45 tengah hari hingga 3 petang.

"Polis giat mengesan beberapa suspek lagi bagi membantu siasatan. kes disiasat mengikut Seksyen 148 kanun keseksaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod dadah, jenayah dan senarai hitam kes jenayah.

Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan hotline IPD JBS di talian 07-2182323, atau hubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Azlinda Mohd Khalid di talian 017-2765250.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 7:55 PM