Foto hiasan. - Bernama
Foto hiasan. - Bernama
BERNAMA

Johor Bahru: Polis mengesan sekumpulan lelaki yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan menggunakan senjata tajam di hadapan sebuah premis di bandar raya ini pada Rabu lepas, bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan kejadian itu, namun memaklumkan tiada laporan dibuat oleh mangsa atau pun pihak terbabit, setakat ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu pada Rabu lepas kira-kira 11.25 malam dan punca kejadian masih dalam siasatan.

"Pihak polis masih giat mengesan semua yang terbabit bagi membantu siasatan.

"Kami buka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Azlinda Mohd Khalid di talian 017-2765250.

Terdahulu, tular dua video berdurasi enam saat hingga satu minit 25 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Pang Chong di laman Facebooknya yang memaparkan mengenai insiden pergaduhan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 10:07 AM