BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai promosi negara Malaysia berbilang bangsa sebagai sesuatu yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, adalah cubaan terdesak mantan perdana menteri itu untuk menarik perhatian dan dilihat relevan.

"Mantan PM itu (Dr Mahathir) telah kehilangan kerusi parlimen di Langkawi. Saya rasa kita tidak perlu ambil serius mengenainya. Ia adalah cubaan terdesak beliau untuk mendapat perhatian, untuk dilihat relevan.

"Saya akan jadikan beliau tidak relevan, saya tidak akan memberikan sebarang komen mengenainya (kenyataan Dr Mahathir)," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan yang dikemukakan oleh bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia Christopher Leong mengenai bantahan ramai terhadap kenyataan oleh bekas perdana menteri itu, yang menurutnya sudah hilang pengaruh berikutan kegagalan besarnya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

Anwar berkata sebagai seorang berbangsa Melayu, beliau menghormati budaya Melayu, tradisi, bahasa dan Raja-raja Melayu.

"Tetapi itu tidak menjadikan saya sebagai seorang bersifat perkauman. Anda (Dr Mahathir) pula hendak tekankan bahawa ini negara Melayu semata-mata, dan menafikan hak orang lain.

"Benar, perlembagaan persekutuan itu jelas mengenai kedudukan kaum Melayu, namun ia juga jelas dalam melindungi kebajikan seluruh rakyat dan masa depan seluruh rakyat negara ini, dan menjamin masa depan untuk semua," kata Anwar.

Perdana Menteri seterusnya berkata kini setelah melangkah masuk tahun 2023, beliau tidak faham mengapa masih ada sesetengah pihak yang 'kekal' dengan isu negara ini milik siapa - Melayu, Cina atau Kristian.

"Ia diburukkan lagi dengan pemimpin korup yang menyalah guna kuasa dan memperkaya diri sendiri.. mereka ini jutawan, anak-anak mereka adalah jutawan.

"Jika benar kamu hendak bantu kaum Melayu, serahkan separuh daripada kekayaan kamu kepada kaum Melayu," katanya yang kemudiannya disambut dengan tepukan gemuruh hadirin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 5:39 PM
ANWAR (kiri) ketika sesi dialog bersama  moderator Christopher Leong pada Persidangan Undang-Undang Malaysia Antarabangsa 2023 hari ini. FOTO Bernama
ANWAR (kiri) ketika sesi dialog bersama moderator Christopher Leong pada Persidangan Undang-Undang Malaysia Antarabangsa 2023 hari ini. FOTO Bernama