LAMAN Florikultur.
LAMAN Florikultur.
LAMAN Sayur & Herba.
LAMAN Sayur & Herba.
LAMAN Ternakan.
LAMAN Ternakan.
RAIHAN melihat produk terbaru dibangunkan MARDI.
RAIHAN melihat produk terbaru dibangunkan MARDI.
Oleh Mohd Sabran Md Sani

Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) akan menjadi satu lagi daya tarikan apabila lokasi itu dibangunkan sebagai destinasi agro pelancongan dengan jenama Taman Agropelancongan MAEPS.

Langkah membangunkan taman itu bagi meningkatkan nilai tambah tapak ekspo itu yang sering dijadikan acara dwi tahunan Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA).

Majlis pelancarannya disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Raihan Sharif yang mewakili Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena MAHA 2014 di Dewan A MAEPS, baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Sharif Haron dan Ketua Pegawai Eksekutif MAEPS Management, Datuk Mohd Arif Othman.

Satu buku meja kopi 'MAEPS Agrotourism Park' turut dilancarkan.

Taman Agropelancongan MAEPS atau 'MAEPS Agrotourism Park' dilaksanakan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melalui anak syarikatnya MAEPS Management Sdn Bhd.

Kawasan seluas 130 hektar itu mempunyai beberapa komponen utama iaitu lima bangunan pameran, lapan laman pertanian 'Agriculture Showground', Laman Sayur dan Herba, Laman Florikultur, Laman Padi, Laman Perikanan, Laman Nanas, Laman Jentera, Laman Ternakan, dan Taman Mini Kelulut.

Ia juga mengetengahkan 13 Pavilion Negeri memaparkan arkitek bangunan negeri di Malaysia, kawasan lapang yang meliputi tasik, laluan 'jogging', perkhemahan, tempat makan, aktiviti ekuin dan spa.

Usaha menjadikan MAEPS yang juga tapak rasmi MAHA sebagai Taman Agropelancongan selari dengan inisiatif kerajaan membangunkan sektor pelancongan negara yang penting kepada pembangunan ekonomi negara.

Ismail mengakui agro pelancongan berpotensi besar memberi pulangan besar kepada ekonomi negara.

"Komponen agrotourism diberi fokus khas dalam MAHA dan selari dengan inisiatif kerajaan membangunkan sektor pelancongan negara.

"Pada tahun 2013, sektor pelancongan menyumbang lebih RM65.4 bilion kepada pendapatan negara," katanya.

Beliau yakin produk agro pelancongan yang berasaskan teknologi dan inovasi pertanian memberi kelebihan daya saing berbanding destinasi pelancongan lain.

"MAHA ialah fiesta pertanian terbesar dan berprestij dalam kalendar pelancongan negara.

"Malah, MAHA menjadi acara terbesar agro pelancongan negara yang dikunjungi melebihi tiga juta orang dan membabitkan transaksi melebihi RM20 juta dalam masa 10 hari," katanya.

Jenama terbaru ini mempunyai empat sub-komponen yang memanfaatkan kemudahan iaitu Laman Agro bagi pakej lawatan ke laman pertanian termasuk 'light snack' di akhir lawatan.

'Agro Recreations' pula ialah pakej untuk aktiviti seperti Agro Hunt, Treasure Hunt, menunggang kuda dan memancing.

Rumah Negeriku ialah kolaborasi dengan kerajaan negeri mempromosikan produk agro pelancongan setiap negeri.

Edufarm adalah kolaborasi dengan rakan niaga Edufarm Management membangunkan pakej untuk pelajar sekolah manakala MAEPS Agrotourism Park dipasarkan dengan kerjasama agensi syarikat pelancongan bertauliah.

Kementerian berusaha mendapatkan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Tourism Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 5:02 AM