10 buah kilang di Kawasan Perindustrian Budiman, di Cheras di sini musnah dijilat api awal pagi tadi. Ihsan JBPM
10 buah kilang di Kawasan Perindustrian Budiman, di Cheras di sini musnah dijilat api awal pagi tadi. Ihsan JBPM
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kajang: Sepuluh kilang musnah dalam kebakaran di sekitar Kawasan Perindustrian Budiman di Jalan KPB 3 dan Jalan KPB 4, Cheras di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Wan Mad Razali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan, jam 2.15 pagi.

"Jentera dan 48 anggota dari lapan balai bomba dan penyelamat (BBP) iaitu dari Bandar Tun Hussein Onn, Petaling Jaya, Kajang, Pandan, Bangi, Shah Alam, Cyberjaya, Serdang, tiba di lokasi kejadian, jam 2.38 pagi.

"Kebakaran asalnya membabitkan empat kilang, merebak kepada 10 kilang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, api merebak dengan pantas berikutan pengubahsuaian dan penambahan sengkuap (awning) pada kilang-kilang terbabit.

"Selain itu, jarak antara premis yang terlalu rapat dan kilang-kilang terbabit juga mempunyai fire load yang tinggi kerana padat dengan bahan mudah terbakar.

"Antara kilang musnah 100 peratus di Jalan KPB 4 adalah kilang peralatan audio kereta, kilang makanan kucing, kilang perabot, stor simpanan barang, kilang barang plastik papan iklan, kilang tembakau dan kilang tilam," katanya.

Katanya, kebakaran dikawal 4.37 pagi dan punca kebakaran masih belum dikenal pasti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 9:27 AM