ANGGOTA bomba memadam kebakaran kilang perabot di Kawasan Perindustrian Cheras, semalam.
ANGGOTA bomba memadam kebakaran kilang perabot di Kawasan Perindustrian Cheras, semalam.
Mohd Azam Shah Yaacob

Cheras: Terkejut selepas melihat kilang perabot tempat kerjanya terbakar, seorang pengawal keselamatan rebah dan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di Kawasan Perindustrian Cheras di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.40 pagi, mangsa, Mohd Jaya Vacho, 50, yang bekerja syif malam rebah tiba-tiba di depan pondok pengawal ketika melihat bangunan kilang terbakar.

Rakan sekerja mangsa dikenali sebagai Yoong berkata, Mohd Jaya berasal dari Sabah baru enam bulan bekerja sebagai pengawal keselamatan di kilang itu.

Katanya, ketika kejadian, kilang itu belum memulakan operasi dan mangsa bekerja seorang diri.

“Mangsa ditemui terbaring di pekarangan kilang oleh orang ramai yang melihat kebakaran.

“Dia kemudian dibawa ke Hospital Serdang oleh orang ramai, namun disahkan meninggal dunia,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang Mohd Jaslizad Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.44 pagi.

Katanya, sebaik tiba kira-kira 10 minit kemudian, api marak dan pihaknya terpaksa mendapatkan bantuan dari BBP Bangi, Serdang, Pandan Indah dan Pasukan Bomba Sukarelawan.

Katanya, operasi memadamkan kebakaran mengambil masa lama berikutan kilang itu dipenuhi perabot yang diperbuat daripada kayu selain bahan kimia untuk membuat perabot.

“Operasi memadamkan kebakaran membabitkan 43 anggota dan 13 jentera.

“Api berjaya dikawal jam 7 pagi, namun kilang itu musnah 90 peratus dan turut merebak ke bangunan sebelah yang terbakar kira-kira 10 peratus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 4:33 AM