Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneliti dakwaan isu pemberian kontrak gentian optik bernilai RM214.2 juta kepada syarikat yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya memerlukan masa untuk menelitinya kerana kejadian berlaku kira-kira 20 tahun lalu dan belum membuka kertas siasatan kes itu.

"Pihak kami sedang meneliti dan akan buka kertas siasatan apabila maklumat yang diperlukan telah lengkap kerana bila siasatan lama, kami perlukan sedikit masa.

"Kita belum buka lagi siasatan secara terbuka, tetapi saya sahkan kita sedang meneliti maklumat yang diperolehi untuk dikaji dan maklumkan perkembangan dalam tempoh terdekat. Bagi saya masa sikit," katanya.

Terdahulu, Azam merasmikan Hari Integriti Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas perkembangan terkini mengenai siasatan SPRM terhadap dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Telekom Malaysia Berhad (Telekom) mengeluarkan surat meminta kebenaran mengadakan rundingan terus dengan Opcom Sdn Bhd (Opcom) bagi pembekalan kabel fiber optik bernilai RM214.2 juta.

Surat berkenaan dikeluarkan kepada Kementerian Kewangan pada 15 September 2003, yang mana Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu adalah Dr Mahathir, manakala anak ketiganya, Datuk Seri Mukhriz adalah Pengarah Opcom.

Mengulas lanjut mengenai siasatan skandal itu, Azam berkata, SPRM menjalankan siasatan berkenaan secara telus tanpa berat sebelah terhadap mana-mana individu atau pihak tertentu.

"Kita melihat perkara ini dengan telus. Kita tidak akan melihat perkara ini terhadap sesiapa yang terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 2:06 PM