Mohd Amin Jalil


Seremban: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan, belum dimuktamadkan.

Menteri Besar merangkap Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata perkara itu akan diputuskan di peringkat kepemimpinan tertinggi parti itu.

"Berkaitan pembahagian kerusi dan calon Pilihan Raya Negeri (PRN), ia belum dimuktamadkan, termasuk kerusi mana yang akan ditandingi (PKR).

"Semalam, ia hanya taklimat oleh pengarah jabatan pilihan raya di hadapan Presiden parti.

"Permintaan tambahan dua kerusi oleh UMNO/Barisan Nasional turut dibincangkan secara umum sahaja tetapi perkara itu akan diputuskan oleh Majlis Presiden (Pakatan Harapan) kelak," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Program Peningkatan Kapasiti dan Kapabiliti Kumpulan Khusus (PPKK) di Sendayan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani dan Pegawai Daerah Seremban, Mohd Nizam Tajul Arus.

Beliau mengulas mengenai mesyuarat antara Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama 50 pemimpin PKR di Seri Perdana, Putrajaya, semalam.

Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, berkata beliau menyerahkan semula kepada pengundi untuk menentukan masa depan mereka,

"Ini adalah minggu terakhir pentadbiran PH di Negeri Sembilan kerana pada 30 Jun ini DUN akan dibubarkan.

"Oleh itu, kita serahkan balik kepada rakyat dan pengundi untuk menentukan masa depan. Mereka tahu rekod kita (kerajaan PH) lebih baik dan lebih cemerlang.

"Banyak insentif dan bantuan diberikan yang tidak terdapat di negeri lain, malah banyak perubahan dan kemajuan dicapai dalam ekonomi, pelaburan dan pendidikan.

"Saya yakin jika ambil semua aspek ini, rakyat boleh lihat semua perkembangan ini (rekod) kita," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Aminuddin berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan termasuk pegawai kerajaan di atas segala

kerjasama dan sokongan diberikan kepada kerajaan negeri.

"Saya juga mohon ampun dan maaf bagi pihak kerajaan negeri dan seluruh pimpinan di atas segala kesilapan serta kekurangan kerana itu adalah adat sebagai manusia.

"Semoga kita bertemu lagi dua bulan dari sekarang, insya-Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 5:02 PM