WANITA warga Thailand maut manakala 14 yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Mersing Johor awal pagi tadi. FOTO ihsan bomba
WANITA warga Thailand maut manakala 14 yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Mersing Johor awal pagi tadi. FOTO ihsan bomba
Mohamad Fahd Rahmat


Mersing: Seorang wanita maut manakala 14 lagi cedera dalam nahas jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 14, Jalan Jemaluang di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, mangsa wanita yang maut adalah warga Thailand dikenali sebagai Steenurhalisa Useng, 22, akibat cedera parah di muka.

Katanya, kemalangan kira-kira 3 pagi itu dipercayai berpunca sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) BMW X5 dipandu seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun tempatan hilang kawalan sewaktu melalui jalan berselekoh lalu memasuki laluan bertentangan.

"BMW X5 berkenaan bertembung dengan Perodua Myvi dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Mitsubishi Grandis dari arah Johor Bharu.

"Pertembungan itu menyebabkan seorang penumpang Mitsubishi Grandis meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi penumpang MPV itu iaitu lelaki warga tempatan patah tangan," katanya ketika dihubungi.

Katanya, 14 yang cedera ialah pemandu dan dua penumpang lelaki BMW X5 berusia 30-an serta tiga lelaki dan dua kanak-kanak perempuan yang menaiki Perodua Myvi.

Turut cedera empat lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan yang menaiki Mitsubishi Grandis.

Abdul Razak berkata, pemandu BMW X5 telah dirakamkan keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis manakala hasil ujian air kencing adalah negatif pengaruh dadah atau alkohol.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Anuar Hussine berkata, pasukan keluaran operasi (PKO) bertindak mengeluarkan mangsa yang meninggal dengan menggunakan peralatan khas.

"Terdapat 15 mangsa yang terdiri daripada 10 lelaki dewasa, dua perempuan dewasa dan tiga kanak-kanak perempuan.

"Wanita warga asing berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan yang tiba di lokasi kejadian.

"Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Mersing dengan ambulans manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, sebuah jentera LFRT dari BBP Mersing dengan kekuatan tujuh anggota dihantar ke tempat kejadian dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.35 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 1:10 PM