GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis menahan 13 warga asing dalam serbuan di dua premis di Jalan Kuchai Lama, di sini, kelmarin kerana menjalankan aktiviti perjudian atas talian.

Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields selepas menerima aduan serta maklumat risikan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, serbuan pertama dilakukan pada jam 4 petang dan menahan empat warga asing.

"Kesemua suspek terdiri daripada seorang lelaki dan empat wanita berusia 20 hingga 32 tahun kerana disyaki terbabit aktiviti mengurus serta mempromosikan perjudian atas talian.

"Pelbagai peralatan termasuk set komputer, telefon bimbit dan router yang disyaki digunakan bagi kegiatan perjudian dirampas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam serbuan kedua pada jam 4.45 petang, Amihizam berkata, seramai sembilan individu terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita berusia 21 hingga 36 tahun ditahan.

Menurutnya, polis turut merampas empat set komputer, sebuah komputer riba, sembilan telefon bimbit dan masing-masing satu modem serta router.

Selain itu, katanya, semakan terhadap kesemua warga asing terbabit didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 1:26 PM