MOHAMMAD Ab Rahman menyampaikan anugerah Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik, Azmi Osman ketika Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 196/22. FOTO Mohd Khidir Zakaria
MOHAMMAD Ab Rahman menyampaikan anugerah Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik, Azmi Osman ketika Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 196/22. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Tentera Darat mensasarkan sebanyak 5,000 perajurit muda setiap tahun atau sesi pengambilan anggota sebanyak tiga kali setahun bermula tahun hadapan.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, ia secara tidak langsung memberi peluang yang lebih banyak kepada belia negara kita untuk menyertai Angkatan Tentera sejajar dengan iltizam pembangunan keupayaan Tentera Darat 'Army 4NEXTG' 2021 hingga 2050.

"Untuk Perajurit Muda Siri 196/2022 ini seramai 2,063 yang berjaya menamatkan latihan daripada jumlah awal seramai 2,110 selepas 47 orang tidak berjaya menamatkan latihan atas pelbagai sebab antaranya masalah disiplin dan kesihatan.

"Dalam latihan ini aspek yang diberi penekanan adalah untuk membentuk keperibadian seseorang individu itu agar selari dengan profil," katanya ketika ketika sidang media selepas Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 196/22 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini hari ini.

Katanya, sebelum negara dilanda pandemik Covid-19, pengambilan Perajurit Muda ini dibuat sebanyak tiga kali setahun.

"Kerana masalah ini, pengambilan Perajurit Muda dikurangkan kepada sekali setahun namun atas perkembangan semasa, pengambilan mereka kini kembali dilaksanakan tiga kali setahun bermula tahun hadapan dengan sasaran 5,000 setahun," katanya.

Mohammad berkata, dalam siri pengambilan siri kali ini, majoriti masih dari bangsa Melayu berbanding bangsa lain.

"Kaum Melayu seramai 1,586 orang, etnik Sabah dan Sarawak seramai 496 orang, Cina 6 orang (sama seperti tahun lalu), India seramai 21 orang dan lain-lain bangsa seorang (Pakistan).

"Jika berdasarkan kepada komposisi dan kekuatan Anggota Tentera Malaysia yang berakhir 31 Mei tahun ini, menunjukkan pembabitan bangsa-bangsa lain yang menyertai profesyen ketenteraan masih rendah iaitu kurang dari tiga peratus daripada kekuatan ATM," katanya.

Tambahnya, antara faktor yang dikenalpasti kurangnya penyertaan bangsa-bangsa lain ialah gaji yang rendah dan tidak setimpal.

Menurutnya, kajian itu dilakukan Universiti Malaya pada tahun 2013 dan Universiti Putra Malaysia pada tahun lalu selain daripada dalaman ATM sendiri.

"Antara faktor penyumbang itu ialah gaji yang rendah dan tidak setimpal berbanding kepayahan serta risiko tinggi dalam tugas dan perlu bersedia sepanjang masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 2:13 PM