PASUKAN Hazmat JBPM Johor  membuat tugas pengesanan dan mengambil sampel bersama pegawai JAS. FOTO Ihsan Bomba
PASUKAN Hazmat JBPM Johor membuat tugas pengesanan dan mengambil sampel bersama pegawai JAS. FOTO Ihsan Bomba
Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Pencemaran bau dilaporkan berlaku di Jalan Belati, Kawasan Perindustrian Maju Jaya, Kempas di sini, hari ini, dipercayai berpunca dari parit bersebelahan sebuah kilang di kawasan berkenaan.

Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas, Mohd Ridzuan Malek Rivan, hasil pemantauan, pengesanan dan persampelan yang dilakukan, pihaknya mendapati parit itu tercemar dengan bahan-bahan buangan berjadual.

"Pasukan keluaran operasi (PKO) memaklumkan terdapat air bertakung dan bau busuk di dalam parit itu, sebelum membuat pemantauan serta turut menghubungi pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Pasukan 'Hazardous Material Unit Team' (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor turut hadir ke lokasi kejadian bagi membuat tugas pengesanan dan mengambil sampel bersama pegawai JAS.

"Hasil siasatan awal mendapati parit itu tercemar dengan bahan buangan berjadual termasuk akrolein, benzena, karbon dioksida, metana dan etilena oksida," katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Beliau berkata, lokasi insiden kemudian diambil alih oleh pihak JAS kerana susulan kerja-kerja pengesanan tiada bahan yang sepadan dengan hasil yang dijumpai di peringkat awal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 11:20 PM