Izz Laily Hussein

Kota Tinggi: Perbincangan hala tuju ekonomi diadakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, yang turut disertai bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menunjukkan keterbukaan Kerajaan Perpaduan untuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Khairy Jamaluddin juga dapat menggunakan peluang dan ruang yang diberi untuk menyampaikan apa sahaja pandangannya dalam soal membaiki dan melonjakkan kembali ekonomi Malaysia.

"Dalam keterbukaan kerajaan Malaysia Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini menunjukkan keterbukaan beliau menerima dan berjumpa untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak.

"Ini mungkin menyebabkan beliau menjemput Khairy Jamaluddin dan saya percaya Khairy juga dapat menggunakan segala peluang untuk menyampaikan pandangannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang mediaketika mengadakan lawatan ke Felda Bukit Easter di sini, hari ini.

KHALED Nordin ketika mengadakan lawatan ke Felda Bukit Easter di Pejabat Felda Bukit Easter, Kota Tinggi, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
KHALED Nordin ketika mengadakan lawatan ke Felda Bukit Easter di Pejabat Felda Bukit Easter, Kota Tinggi, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Terdahulu, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden Umno diminta mengulas mengenai penyertaan Khairy Jamaluddin dalam perbincangan berkenaan yang mana sekali gus menimbulkan spekulasi orang ramai tentang kehadiran bekas Ahli Parlimen Rembau itu.

Dalam perkembangan lain, mengenai dakwaan terdapat tiga 'warlord' Umno dari Johor dijangka menyertai Perikatan Nasional (PN), Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor berkata, ia hanya khabar angin.

Beliau berkata, di peringkat kepimpinan parti negeri, pihaknya tidak mendengar berita sahih berkenaan hal itu dan berharap ia terus menjadi khabar angin.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata, setiap ahli politik perlu mempunyai pendirian dan kekal dengan prinsip perjuangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 3:34 PM