BERNAMA

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu sentiasa menjalankan tanggungjawab dan tugas secara bebas dan berkecuali termasuk membabitkan siasatan terhadap tokoh politik serta bekas pemimpin negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, ia sejajar dengan peranan SPRM yang melaksanakan tugas berlandaskan prinsip keadilan dan undang-undang.

"Orang-orang yang menganggap ini siasatan bermotif politik, harus melihat kepada fakta dan bukan sentimen politik untuk kelirukan rakyat.

"Kalau nyata daripada segi siasatan ada kes yang dianggap berprofil tinggi dan mempunyai alasan cukup kukuh untuk didakwa, itu tugas SPRM dan Jabatan Peguam Negara," kata beliau pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab soalan Senator A Kesavadas berkaitan sejauh mana SPRM serius untuk menyiasat segala perilaku rasuah dan salah guna kuasa yang membabitkan bekas-bekas Perdana Menteri.

Sementara itu, Anwar meminta mana-mana pihak yang mendakwa badan penyiasat termasuk SPRM bertindak atas arahan politik, tampil mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan mereka.

Beliau berkata, ia memandangkan ketika ini, ada kalanya tindakan dan keputusan diambil SPRM dijadikan bahan politik oleh sesetengah pihak.

"Lihat pada fakta, kalau semasa memegang kuasa kita menggunakan kuasa beri kontrak pada keluarga dan kroni, memperkayakan diri, jangan dipersoalkan kenapa SPRM siasat, dan bila SPRM siasat jangan dianggap ini tohmahan politik.

"Sepatutnya kita sebagai ahli Dewan (Dewan Rakyat atau Dewan Negara) yang bertanggungjawab mengambil sikap selamatkan negara daripada rasuah berleluasa," kata beliau ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dominic Lau Hoe Chai.

Dominic mahu tahu mekanisme diguna pakai SPRM bahawa setiap siasatan SPRM tidak dipengaruhi kuasa dan arahan bermotif politik.

Anwar berkata, ketika ini, kaedah siasatan SPRM cukup jelas iaitu sekiranya ada laporan dibuat, siasatan akan dijalankan segera dengan beliau sendiri meminta semua badan penguat kuasa menjalankan siasatan secara profesional dan tanpa gentar.

Katanya, beliau sendiri menjamin Kerajaan Perpaduan sentiasa akan bertindak tegas supaya penyakit barah rasuah akan dapat dihapuskan dalam negara ini.-Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 1:31 PM