AL Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, bertitah ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14. FOTO Ihsan Istana Anak Bukit
AL Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, bertitah ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14. FOTO Ihsan Istana Anak Bukit
M Hifzuddin Ikhsan

Alor Setar: Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, pelantikan kepemimpinan baharu negara melalui proses rundingan tertutup bukan suatu penyelesaian, tetapi hanya langkah kecemasan dalam menghadapi masalah lebih besar.

Baginda bertitah, sesebuah negara tidak akan terlepas daripada kemelut, pergolakan dan krisis kerana hal seumpama demikian adalah lumrah dalam ketamadunan manusia.

Titah baginda, tempoh sehingga sebelum pilihan raya seterusnya adalah suatu tempoh kritikal dan memerlukan kesepakatan semua pihak khususnya ahli politik untuk menangani masalah kesihatan dan ekonomi yang melanda.

"Sejarah mengajar kita terdapat dua pengakhiran sesebuah tamadun apabila berhadapan dengan cabaran. Pertama, mereka gagal mengatasinya dan musnah ditelan zaman. Kedua, mereka berjaya mengatasinya dan menempa lembaran baharu sejarah.

"Kemelut dan pergolakan politik di peringkat Pusat yang berlaku mutakhir ini berjaya diharungi. Namun, kita perlu sedar dengan pelantikan kepemimpinan baharu melalui proses rundingan tertutup bukanlah satu penyelesaian mutlak. Ini hanyalah langkah kecemasan dalam menghadapi masalah yang lebih besar.

"Negara dan negeri Kedah pada tempoh genting ini memerlukan ahli politik berjiwa besar dan meletakkan masa hadapan negara dan negeri melebihi kepentingan parti dan peribadi. Lebih tepat lagi ahli politik yang berjiwa negarawan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah Ke-14, di sini, hari ini.

Sementara itu, Sultan Sallehuddin bertitah, prosedur operasi standard (SOP) membabitkan aktiviti keagamaan perlu disemak semula agar lebih menyeluruh dan sesuai dengan situasi endemik.

"Menyedari hakikat kita akan melangkah ke fasa endemik, beta menyeru satu perancangan teratur dan jelas dapat diambil kerajaan negeri dalam hal ehwal membabitkan aktiviti keagamaan.

"Beta berkehendak syiar Islam di bumi Kedah ini terus subur dan bersemarak," titah baginda.

Mengulas mengenai prestasi pelaburan Kedah berjumlah RM43 bilion bagi suku pertama yang mencatat keputusan terbaik di Malaysia, baginda menyifatkan kejayaan itu adalah bukti betapa perancangan kerajaan membuahkan hasil.

Baginda yakin dengan terlaksananya projek berimpak tinggi seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP),Zon Sempadan Ekonomi Khas (SBEZ) serta Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) bakal meletakkan Kedah di landasan betul ke arah pengukuhan sektor ekonomi dan pelaburan masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 4:12 PM