FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan tidak lagi merekodkan kemasukan telur ayam import dari India atau Thailand ke Malaysia ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata, pengimportan telur ayam dari India sudah tidak direkodkan selepas Januari lalu, manakala pengimportan dari Thailand belum direkodkan.

Katanya, langkah kerajaan membenarkan pengimportan telur dari Thailand atau negara sumber lain adalah langkah tambahan bagi mempelbagaikan sumber bekalan telur di Malaysia bagi menampung keperluan tambahan, atau kekurangan bekalan jika ia berlaku secara mengejut.

Tegasnya, sebarang usaha pengimportan telur sama ada dari India atau Thailand adalah berdasarkan keputusan antara perniagaan dengan perniagaan, dan bukan dilakukan kerajaan.

"Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) juga ingin tegaskan pengeluar telur tempatan sentiasa menjadi keutamaan dalam menjamin bekalan telur di Malaysia.

"Inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar bukanlah untuk menekan pengusaha industri telur ayam tempatan, sebaliknya bagi mempelbagaikan sumber bekalan telur di Malaysia bagi memastikan kecukupan bekalan telur ayam dalam negara.

"Tiada sebarang subsidi juga akan diberikan oleh kerajaan kepada telur yang diimport dari negara luar," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang meminta kementerian memberi justifikasi mengimport telur ayam dari Thailand, serta bagaimana status pengimportan telur ayam dari India.

Presiden MCA itu turut bertanya mengapa kementerian tidak mengutamakan penternak telur ayam tempatan bagi menghindar aliran tunai ke luar negara.

Mengulas lanjut, Mohamad memaklumkan kerajaan memberi kebenaran untuk mengimport telur ayam dari Thailand selepas semakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mendapati telur ayam dari negara itu bebas penyakit influenza burung yang sangat patogenik (HPAI), serta memenuhi syarat sanitasi dan fitosanitasi (SPS) ditetapkan.

"Kementerian kekal komited untuk terus membangunkan industri telur ayam tempatan, antaranya dengan melaksanakan sesi libat urus bersama Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) bagi mendapatkan pandangan daripada penternak tempatan, bagi memenuhi permintaan dan menjamin bekalan dalam negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 10:06 AM