MOHAMAD Sabu. FOTO Arkib NSTP.
MOHAMAD Sabu. FOTO Arkib NSTP.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melaksanakan pelan jangka pendek dengan membawa masuk bekalan dari luar negara bagi menampung keperluan telur ayam dalam negara.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, pihaknya mengenalpasti beberapa sumber dari luar untuk menampung keperluan bekalan dalam negara dengan kadar segera bagi memastikan keterjaminan telur ayam di pasaran.

"Kementerian juga akan memastikan telur ayam yang diterima selamat daripada penyakit dan menepati piawaian yang ditetapkan.

"Segala protokol dan tatacara yang ditetapkan Kerajaan perlu dipatuhi tanpa kompromi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar bukan untuk menekan pengusaha industri telur ayam tempatan, sebaliknya bagi memastikan bekalan telur ayam dalam negara tidak terputus dan kebajikan rakyat terjaga.

"Keperluan membawa masuk telur ayam dari sumber luar juga akan dikaji semula selepas bekalan telur ayam kembali stabil.

"Saya juga meminta Ketua Setiausaha kementerian ini untuk melihat impak mengimport telur ayam dari sumber luar kepada industri telur ayam tempatan sedia ada dan Agrobank untuk mengemukakan cadangan bagi membantu pembekal dan pengusaha kecil supaya mereka kekal berdaya saing dalam industri ini," katanya.

Katanya, kementerian itu sentiasa berusaha dengan pelbagai pendekatan bagi menjamin bekalan telur ayam negara kembali stabil dengan harga yang kompetitif.

"Kementerian yakin isu kekurangan bekalan telur ayam dapat diselesaikan dalam masa terdekat dengan kerjasama pelbagai pihak," katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, beliau sudah berbincang dan mengarahkan beberapa langkah diambil terhadap isu bekalan telur yang dihadapi negara ketika ini.

Katanya, harga telur ayam yang lebih murah akan diumumkan Mohamad bagi mengurangkan kebergantungan bekalan telur kepada kartel.

Untuk rekod, purata penggunaan telur ayam rakyat Malaysia untuk tempoh sebulan dianggarkan 968 juta biji.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 4:04 PM