GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kerajaan diminta mengambil tindakan drastik dengan mengadakan perjumpaan bersama pengeluar beras di luar negara bagi membincangkan dan meminta bekalan beras dengan harga yang berpatutan.

Timbalan Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Mohamad Fazil Ibrahim berkata, kerajaan juga perlu melakukan tinjauan di dalam negara berkenaan isu kekurangan beras sehingga berlakunya kenaikan harga beras.

"Jika terdapat sebarang penyelewengan atau ada pihak yang menyembunyikan bekalan beras, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas supaya ianya dapat ditangani.

"Ia sekaligus dapat mengurangkan tekanan kepada rakyat yang semakin tertekan dengan kenaikan harga," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya juga mencadangkan kerajaan meluluskan pengeluaran kecemasan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar dengan kadar segera bagi meringankan beban pencarum yang tercicir.

"Mereka terpaksa menanggung kesan akibat permasalahan ini, menerusi pengeluaran bersasar mereka dapat bangkit semula demi kelangsungan hidup akibat kenaikan harga ini serta bebanan hutang tertunggak yang dilihat lebih memburukkan lagi keadaan mereka pada ketika ini.

"Keprihatinan pihak kerajaan menangani isu ini amat diharapkan, iaitu penyelesaian harga beras secara menyeluruh dan sekaligus meluluskan pengeluaran kecemasan KWSP secara bersasar dengan segera kepada pencarum yang tercicir dan terkesan teruk pada ketika ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 8:50 PM