Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Sebanyak 48 kes kehamilan luar nikah membabitkan kanak-kanak dan remaja bawah 18 tahun direkodkan di negeri ini setakat Mei lalu.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sidup berkata, tahun lalu sebanyak 45 kes yang sama dicatatkan dan dijangka angka itu akan meningkat pada tahun ini.

"Walaupun (peningkatan) angka itu dilihat tidak besar berbanding negeri lain, tapi kalau boleh kita ingin jadikan sifar kes (jenayah) seksual membabitkan remaja terutama kanak-kanak.

"Itu adalah data yang dilaporkan kepada JKM dan kita yakin masih banyak kehamilan luar nikah yang dirahsiakan keluarga atas faktor tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan buku Raudhah Sakeenah, Sepancar Sinar Segunung Harapan di Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan, di sini, hari ini.

Said Sidup menurunkan tandatangan sempena pelancaran buku Raudhah Sakeenah, Sepancar Sinar Segunung Harapan di Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Said Sidup menurunkan tandatangan sempena pelancaran buku Raudhah Sakeenah, Sepancar Sinar Segunung Harapan di Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Said berkata, kebiasaannya pelaku yang terbabit dalam kes sosial itu dikenali mangsa terutama bapa kandung diikuti bapa tiri dan abang kandung sekali gus menjurus kepada kejadian sumbang mahram.

Menurutnya, faktor penggunaan gajet secara meluas dan pemantauan keluarga yang kurang antara penyebab kepada isu kehamilan luar nikah.

"Zaman sekarang banyak aplikasi atau platform yang boleh diakses secara mudah tanpa batasan yang mendedahkan kanak-kanak kepada aktiviti tidak bermoral.

"Kita juga sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi antaranya sekolah, jabatan kesihatan, polis bagi memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak agar tahu batasan hubungan dan jenis sentuhan yang boleh menjurus ke arah seksual," katanya.

Katanya, ibu bapa dinasihatkan membuat laporan pihak berwajib dengan segera jika anak mereka menjadi mangsa jenayah seksual.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 1:50 PM