Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Pengurus stor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap rakan wanitanya, Mei lalu.

Tertuduh, Pong Yi Ziang, 19, membuat pengakuan itu sebelum memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Pong didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 13 tahun 11 bulan di sebuah bilik hotel di daerah ini, pada 9 pagi 21 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Nabihah Hizamul-Din, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

PENGURUS stor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan melakukan amang seksual terhadap remaja. FOTO Faizul Azlan Razak.
PENGURUS stor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan melakukan amang seksual terhadap remaja. FOTO Faizul Azlan Razak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 5:18 PM