FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap pasukan antara cabaran getir yang perlu dilalui Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata, ini kerana kewibawaan pasukan semakin hari semakin dilanda pelbagai bentuk krisis imej yang tidak menyenangkan.

"Elemen kepantasan, ketepatan dan ketelusan dalam perkhidmatan kepolisan khususnya siasatan kes amat dituntut oleh masyarakat ketika ini.

"Ketua Polis Daerah khususnya, hendaklah berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dengan memberi keutamaan kepada memudahkan urusan dan mengurangkan kerenah birokrasi.

"Hindarilah sikap buruk yang menonjolkan sifat angkuh, sebaliknya kita terapkan nilai murni serta memberi keutamaan kepada keperluan pelanggan sama ada mereka adalah orang ramai ataupun sesama kita warga pasukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara Jun 2023 anjuran Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS) di Dataran Kompleks 3, Bukit Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengadu yang membuat laporan sering ingin tahu perkembangan kes, namun apa yang berlaku semasa proses penyiasatan masih banyak perlu dibaiki.

Katanya, kegagalan pegawai penyiasat melaporkan perkembangan kes, lambat memberi maklum balas dan sukar dihubungi menimbulkan rasa tidak puas hati pengadu.

"Hal ini menyebabkan pengadu mengambil langkah membuat aduan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli politik berpengaruh, pihak media mahupun media sosial bagi menyampaikan rasa ketidakpuasan hati mereka.

"Ini secara tidak langsung mewujudkan persepsi negatif masyarakat terhadap keupayaan dan kewibawaan PDRM.

"Kelemahan seperti ini yang membuka ruang kepada pihak tertentu menangguk di air yang keruh untuk kepentingan peribadi mereka sekali gus mencalarkan imej pasukan," katanya.

Justeru, beliau berharap pegawai dan anggota PDRM sama ada yang membuat operasi mahupun menjalankan siasatan diperlengkapkan ilmu dan kemahiran mencukupi.

Selain itu, Acryl Sani berkata, mereka perlu diterapkan dengan pemahaman yang jelas mengenai prosedur operasi standard (SOP).

Beliau tidak mahu kes berprofil tinggi yang didakwa di mahkamah, gagal mendapat sabitan yang sepatutnya hanya kerana pasukan lemah, gagal atau lalai dalam melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 12:42 PM