ALEX Chua Kim Soon bersama isteri, Lee Mei Kim memotong kek perkahwinan selepas diijab kabul pada Majlis Pernikahan dan Walimatulurus Saudara Muslim 2023 anjuran MAIM, hari ini. FOTO Nuraliawati Sabri
ALEX Chua Kim Soon bersama isteri, Lee Mei Kim memotong kek perkahwinan selepas diijab kabul pada Majlis Pernikahan dan Walimatulurus Saudara Muslim 2023 anjuran MAIM, hari ini. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri


Melaka: "Pendirian dan keikhlasannya mendalami Islam membuatkan saya tertarik menjadikan dia sebagai isteri," kata pengantin baharu, Muhammad Adnan Rahim.

Muhammad Adnan, 25, selamat diijab kabul dengan isterinya yang juga seorang saudara baharu, Gan Shin Yue, 25, hari ini.

Pasangan itu antara lima mempelai yang diraikan dalam Majlis Pernikahan dan Walimatulurus Saudara Muslim 2023 Anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Muhammad Adnan berkata, dia dan isteri mula berkenalan sejak tujuh tahun lalu ketika mereka berdua belajar di kolej jururawat sama namun ketika itu hanya sekadar kawan.

"Semuanya bermula tiga tahun lalu apabila isteri begitu bersungguh-sungguh belajar dan mendalami agama Islam, saya sebagai rakan cuma membantu yang termampu.

"Dari situ hati saya mula bertaut melihat keikhlasannya. Jujurnya saya tidak pernah memaksanya tetapi Allah berikan hidayah buatnya," katanya ketika ditemui di sebuah hotel di Jalan Bendahara, di sini, hari ini.

Menurutnya, walaupun pada awal keputusan mereka untuk mendirikan masjid mendapat sedikit halangan namun berkat kesabaran semuanya dipermudahkan sehinggalah ke hari pernikahan.

Pasangan pengantin mualaf, Alex Chua Kim Soon, 49, berkata, dia dan pasangan, Lee Mei Kim, 43, tidak pernah terfikir hari bahagia mereka diraikan meriah dan mengikut adat Melayu kerana perancangan mereka hanya majlis berskala kecil.

"Sebenarnya kami merancang diijab kabul tiga tahun lalu tetapi terpaksa ditunda kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ternyata di sebalik apa yang berlaku ada hikmahnya buat kami.

"Saya hanya mengetahui mengenai penganjuran majlis ini ketika menghantar borang ke Balai Islam dan apabila berbincang dengan isteri dia bersetuju, ditambah pula saya anak yatim jadi ini betul-betul membantu," katanya.

Dia yang sudah memeluk Islam sejak 2012 berkata, perkenalannya dengan isteri lebih lima tahun lalu bermula dengan hanya rakan sekerja memandangkan Mei Kim adalah setiausahanya.

"Melihat keperibadian dan ciri wanita idaman ada dalam dirinya, membuatkan fasa hubungan kami ke arah lebih serius, akhirnya pada 2020 dia memeluk Islam.

"Akhirnya impian saya dan isteri untuk disatukan tercapai selain terima kasih tidak terhingga kepada MAIM kerana memudahkan urusan perkahwinan kami," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi MAIM Datuk Md Rawi Mahmud berkata, menerusi Balai Islam, setiap tahun pihaknya ada menyediakan peruntukan bagi pasangan mualaf yang mahu mendirikan rumah tangga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2023 @ 5:10 PM