MUHAMMAD Salman diijabkabul dengan isterinya yang juga seorang mualaf Sofea Mardhiyah Bansa, di Pejabat Agama Islam Seremban. FOTO Ihsan Ikram
MUHAMMAD Salman diijabkabul dengan isterinya yang juga seorang mualaf Sofea Mardhiyah Bansa, di Pejabat Agama Islam Seremban. FOTO Ihsan Ikram
Ahmad Hasbi

Seremban: Kagum dengan kecekalan wanita mualaf dalam meneruskan hidup dalam agama baharu membuatkan seorang lelaki memasang niat untuk mencari pasangan daripada golongan itu.

Hasrat Muhammad Salman Rahim, 27, akhirnya tercapai pada 23 Oktober lalu selepas diijabkabulkan dengan Sofea Mardhiyah Bansa, 29, di Pejabat Agama Islam Seremban, selepas diperkenalkan dengan wanita itu melalui laman Facebook Rakan Hidayah Center.

Menurutnya, hatinya terdetik untuk mencari calon isteri seorang mualaf sejak dua tahun lalu kerana kagum dengan semangat seorang wanita mualaf mendalami Islam.

"Bukan mudah untuk seseorang itu meninggalkan agama dianutinya sejak kecil untuk memeluk Islam, lebih-lebih lagi bagi seorang wanita.

"Ia membuatkan saya rasa kagum dengan semangat yang mereka ada dan saya memasang niat untuk mencari isteri seorang mualaf," katanya dihubungi hari ini.

Muhammad Salman yang berkerja di sebuah syarikat penghantaran barang di Kedah berkata, sebelum berkenalan dengan isterinya, dia pernah meminta bantuan daripada ibu bapa untuk mencari calon isteri mualaf.

"Bagaimanapun, tiada calon yang sesuai sehinggalah saya mencuba nasib menghubungi Rakan Hidayah Center yang juga pusat sokongan saudara baharu.

"Seorang doktor di situ memberitahu ada seorang wanita baharu memeluk Islam Februari lalu," katanya.

Menurutnya, dia tidak mengambil masa lama untuk mengenali isteri dan mereka kemudiannya bertaaruf melalui aplikasi WhatsApp pada Jun lalu.

Muhammad Salman kemudiannya menyatakan hasrat mahu menikahi wanita berkenaan sebelum mereka mengikat pertunangan secara dalam talian pada 20 Julai lalu.

Muhammad Salman berkata, kali pertama dia bertentang mata dengan isterinya ialah pada hari mereka diijabkabulkan dan dalam tempoh taaruf itu, mereka tidak banyak berbual dan sekadar berbincang hal penting.

"Kiranya, kami bercinta selepas kahwin. Cuma sepanjang perkenalan dengan isteri, saya nampak kesungguhan dia untuk belajar agama Islam dan itu membuatkan hati saya lebih tertarik," katanya.

Sementara itu, Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Negeri Sembilan dan Hidayah Centre Negeri Sembilan turut meraikan pasangan itu pada majlis ringkas di dewan Sekolah Rendah Islam Al-Amin, Nilai pada hari mereka diijab kabul.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 3:50 PM