Erika George


Miri: Mayat remaja lelaki yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Tinjar di sini, ditemukan dalam keadaan tidak sempurna oleh penduduk kampung pada awal pagi hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak mengesahkan mayat mangsa ditemukan pada jarak enam kilometer dari lokasi terakhir mangsa mandi berhampiran Rumah Magdeline di Lubok Mulong Melugu Bakong pada pagi Rabu lalu.

"Ketika ditemukan empat orang penduduk kampung, hanya bahagian badan mangsa sahaja yang dijumpai, tanpa kepala dan kedua-dua belah kaki serta tangan mangsa," katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya bahawa mangsa dipercayai dibaham buaya memandangkan kepala dan kedua-dua belah kaki dan tangan mangsa hilang dengan beberapa kesan gigitan pada tubuh mangsa.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke rumah keluarga mangsa sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Pada Rabu lalu, mangsa yang dikenali sebagai Agustine Ujang Stewart, 13, sedang mandi di sungai terbabit berhampiran Lubok Mulong dilaporkan hilang dibawa arus deras.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 5:42 PM