Hazira Ahmad Zaidi


Machang: "Mungkin harga mesin sedut kahak tidak mahal, namun bagi saya yang tidak mempunyai pendapatan, selain anak lain juga bukan dalam kalangan orang senang, ia satu kos besar," luah 'Iasah Jidin, 63.

Dia memberi reaksi itu berikutan runsing memikirkan keadaan anak bongsunya, Muhammad Azwan Zani, 29, yang terlantar akibat kemalangan selepas motosikal ditungganginya dirempuh babi melintas jalan, 12 Mei lalu.

Muhammad Azwan yang berstatus orang kurang upaya lembam kini masih menerima rawatan di Hospital Machang selepas dipindahkan dari Hospital Universiti Sains, Kubang Kerian pada 25 Mei lalu.

'Iasah berkata, anaknya itu masih belum dibenarkan keluar dari hospital berikutan memerlukan rawatan mesin sedut kahak dan keluarganya tidak mampu menyediakan mesin berkenaan sekiranya Muhammad Azwan dibawa pulang ke rumah.

"Kami (sekeluarga) kurang berkemampuan untuk mendapatkan mesin kahak itu, justeru biarlah Muhammad Azwan meneruskan rawatan di hospital.

"Bukan itu sahaja, saya bingung memikirkan perbelanjaan membeli lampin pakai buang dan susu khas kepada Muhammad Azwan. Bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 yang diperoleh Muhammad Azwan tidak mencukupi untuk membeli keperluan nanti," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baka di sini, hari ini.

Terdahulu keluarga 'Iasah menerima kunjungan badan bukan kerajaan Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial Akidi Hamid.

Mengenang nasib menimpa anaknya, 'Iasah berkata, sebagai seorang ibu, dia tidak sanggup melihat keadaan anak bongsu daripada lapan beradik itu terlantar lemah, selain lehernya juga ditebuk untuk saluran pernafasan dan pada masa sama hanya bergantung kepada susu diberikan melalui tiub di bahagian hidungnya.

"Bukan itu sahaja, sebahagian tempurung kepala sebelah kiri juga terpaksa dibuang bagi membuang darah beku akibat kecederaan selepas terbabit kemalangan.

"Sejak Muhammad Azwan menerima rawatan, saya dan seorang lagi anak (Siti Rogayah Zani, 43) bergilir-gilir menjaganya di hospital," katanya.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0301341100010047 atas nama 'Iasah Jidin atau menghubungi anaknya Rohani Zani di talian 0102726547.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 1:37 PM
‘IASAH menunjukkan gambar anaknya, Muhammad Azwan yang dirawat di Hospital Machang. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
‘IASAH menunjukkan gambar anaknya, Muhammad Azwan yang dirawat di Hospital Machang. FOTO Hazira Ahmad Zaidi