GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siti Rohana Idris


Tumpat: Dua lelaki dengan masing-masing memiliki lima rekod lampau bersabit jenayah dan dadah ditahan kerana dikesan membawa 23 pendatang asing tanpa izin (Pati) pada Ahad lalu.

Tangkapan dibuat secara berasingan dalam Op Taring Wawasan oleh Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) di Kampung Kelaboran dan Telaga Bata, di sini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tangkapan pertama dibuat hasil pemantauan serta intipan di Kampung Pak Keral selepas melihat kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra dipandu dalam keadaan mencurigakan.

"Sebaik kenderaan itu berjaya ditahan, pemandunya bertindak keluar dan cuba melarikan diri, tetapi berjaya dihalang oleh pihak polis.

"Hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu mendapati enam lelaki warga Myanmar berada di bahagian penumpang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, rondaan turut dibuat di Kampung Telaga Bata, Chabang Empat sebelum ternampak sebuah lori dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, sebaik menyedari kehadiran pihak polis, pemandu lori memecut laju kenderaan itu dan cuba melarikan diri ke arah semak berhampiran, namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.

"Hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori menjumpai 17 warga Myanmar dengan lapan daripadanya wanita yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

"Saringan ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek berusia 30 dan 40 tahun itu didapati positif dadah jenis Methaphetamine dan mempunyai lima rekod berkait kes jenayah dan narkotik.

"Kedua-duanya ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), manakala 23 migran berusia 15 hingga 40 tahun ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 1:10 PM