LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengemukakan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita dua akaun banknya.

Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya, dinamakan sebagai pemohon mewakili parti dalam permohonan itu yang difailkan semalam melalui firma guaman Tetuan Chetan Jethwani & Co.

Bersatu memohon antaranya perintah untuk membatalkan keputusan SPRM yang mengeluarkan perintah penyitaan ke atas akaun Ambank dan CIMB miliknya mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Parti itu juga memohon perintah supaya SPRM menyerahkan Perintah Penyitaan Salah yang sehingga kini masih tidak pernah diserahkan kepadanya walaupun diminta berkali-kali, yang didakwa mencabul hak pemilikan harta parti berkenaan.

Turut dimohon, satu perintah supaya SPRM membebaskan keseluruhan akaun banknya daripada sebarang kekangan dan pembekuan dan selanjutnya perintah supaya CIMB Islamic Bank Bhd dan Ambank (M) Berhad membebaskan akaun berkenaan.

Selain itu, parti berkenaan memohon perisytiharan bahawa SPRM tidak boleh melanjutkan kekangan ke atas akaunnya selepas tamat tempoh 90 hari, dengan menyalahgunakan kuasa di bawah Seksyen 50 AMLATFPUAA bagi pengeluaran 'Perintah Penyitaan Salah' selama sembilan bulan.

Permohonan parti terbabit menamakan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, dan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Faridz Gohim Abdullah selaku responden pertama hingga keempat.

Turut dinamakan sebagai responden ialah 15 pegawai SPRM yang menjalankan siasatan dan melaksanakan perintah penyitaan akaun berkenaan.

Bersatu mendakwa, pada 19 April lalu, akaun CIMB dan Ambank miliknya disita tanpa membuat serahan perintah mengikut Seksyen 50(1) AMLATFPUAA 2001.

Ia mendakwa, SPRM membuat kenyataan media pada 20 April lalu bahawa kedua-dua akaun disita pada 11 April lalu sedangkan suruhanjaya itu tidak pernah memaklumkan sedemikian pada tarikh terbabit (11 April).

Parti itu berkata, kenyataan media itu jelas menunjukkan perbuatan berniat jahat menggunakan media untuk melindungi bahawa Perintah Pembekuan Salah sudah pun lupus.

Dakwanya lagi, SPRM membekukan kesemua akaun miliknya secara salah berdasarkan tuduhan palsu, tohmahan dan fitnah jahat secara bersekongkol dengan pemimpin kerajaan untuk menimbulkan kebencian dan kemarahan orang awam terhadap presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam perkembangan berkaitan, Bersatu hari ini berjaya mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan SPRM membekukan akaun banknya dan perintah larangan perjalanan oleh Jabatan Imigresen terhadap Muhyiddin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 5:54 PM