UiTM
UiTM
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan bercadang mengambil alih bangunan Platinum di sini, yang bernilai lebih RM350 juta untuk dijadikan kampus kedua di bandar ini.

Rektor UiTM Cawangan Kelantan Prof Dr Abdol Samad Nawi berkata, perkara itu dalam perbincangan dan jika termeterai, kampus itu akan menampung 7,000 pelajar termasuk kemudahan asrama, bilik kuliah selain dilengkapi pusat beli-belah.

Katanya, rancangan itu kelak, bukan sahaja memfokus kepada pembangunan akademik tetapi bidang keusahawanan yang boleh mempelbagaikan kebolehan penuntut.

"Usaha ini turut mendapat kerjasama Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen) dan kertas kerja sudah dihantar kepadanya sebelum dibawa ke Putrajaya.

"Kita berharap agar ia dapat dilaksanakan secepat mungkin sekali gus merealisasikan impian kampus UiTM cawangan kedua di Kota Bharu selain di Lembah Sireh," katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya menggalakkan program pasca siswazah, sarjana dan doktor falsafah (PhD) sama ada melalui penyelidikan atau subjek serta berhasrat menarik pelajar antarabangsa seperti dari Thailand, China dan Indonesia.

Abdol berkata, UiTM Kelantan turut menawarkan program baharu iaitu Sarjana Analitik Perniagaan yang menggabungkan dua fakulti iaitu Fakulti Pengurusan dan Perniagaan serta Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media.

Katanya, pengambilan pertama program itu pada Oktober dan ditawarkan sama ada sepenuh atau separuh masa.

Terdahulu, beliau ditemui pada program Ekspo Selangkah ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2023 di pekarangan Bazar Tok Guru di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 4:58 PM