GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Mohamed Basyir


Kuala Lumpur: Telegram enggan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) kerana aplikasi pemesejan itu tidak mahu mengambil bahagian dalam sebarang bentuk penapisan berkaitan politik.

Dalam kenyataan kepada New Straits Times hari ini, jurucakap Telegram, Remi Vaughn berkata, aplikasi itu secara aktif mengawal kandungan berbahaya pada platformnya termasuk penjualan bahan haram dan pornografi, sejak dilancarkan.

Pengendali platform itu, kata Vaughn, sudah memantau secara proaktif bahagian umum di aplikasinya, selain menerima laporan pengguna menerusi aplikasi itu sendiri serta e-mel di [email protected] untuk mengalih keluar kandungan yang melanggar syarat perkhidmatannya.

"Telegram tidak akan, dalam apa cara sekali pun, mengambil bahagian dalam sebarang bentuk penapisan politik," kata kenyataan itu.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, Telegram enggan memberi bekerjasama dengan kerajaan sejak Januari.

Kerjasama itu katanya, perlu oleh kerana banyak aduan yang dibuat terhadap platform media sosial itu.

Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), sebagai badan kawal selia, sedang mencadangkan tindakan selanjutnya yang akan diambil terhadap platform itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 3:35 PM