Fahmy A Rosli

Ipoh: Kandungan laporan berita boleh memberikan impak besar kepada umum sekiranya disampaikan menerusi kaedah yang bersesuaian dengan keadaan semasa.

Menyifatkan kandungan yang disampaikan sebagai 'raja', Ketua Pegawai Operasi Rev Media Group (RMG), Nicholas Sagau berkata analisis data diperlukan untuk 'memasarkan' kandungan berita supaya apa yang dikehendaki sampai kepada golongan sasar.

Justeru, beliau berkata adalah amat mustahak untuk kumpulan dari media tradisional dan digital duduk bersama, menggembleng keupayaan masing-masing untuk memastikan strategi dirangka membuahkan hasil yang berkesan.

"Kandungan yang hendak disampaikan adalah 'king' (raja). Jadi, kunci utama mentransformasikan media tradisional supaya berperanan secara hibrid adalah keupayaan untuk bekerjasama dengan kumpulan digital.

"Apabila berbicara dengan (pihak) newsroom (bilik berita), saya lihat, pantau apa sudut laporan berita mereka untuk pastikan kita dapat sampaikan dan lakukan dengan lebih baik dengan menggunakan dapatan menerusi analisis data.

"Data yang kami himpunkan di Media Prima menerusi gudang data digunakan untuk lakukan analisis bersama supaya tindakan lebih baik dapat dibuat.

"Ia mengandungi apa yang penonton gemar, suka baca dan apa yang banyak mereka baca dalam Berita Harian misalnya. Selepas itu, barulah kita boleh fikir macam mana nak bantu bilik berita untuk sampaikan kandungan mereka dengan lebih efektif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel forum media bertajuk Kelangsungan Media Tradisional Dalam Era Digital sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di sini, hari ini.

Nicholas Sagau bercakap pada ketika slot ‘Kelangsungan Media Tradisional Dalam Era Digital’ pada sesi Forum Media bertajuk ‘Masa Depan Media’ sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di sebuah hotel hari ini. FOTO BERNAMA
Nicholas Sagau bercakap pada ketika slot ‘Kelangsungan Media Tradisional Dalam Era Digital’ pada sesi Forum Media bertajuk ‘Masa Depan Media’ sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di sebuah hotel hari ini. FOTO BERNAMA

Bertindak sebagai moderator adalah Ketua Program Bahasa Inggeris BERNAMA TV, Gerard Ratnam.

Panel lain yang turut serta dalam forum itu adalah Ketua Editor The Jakarta Post, M Taufiqurrahman; Penasihat Kanan Persatuan Pengiklan Malaysia, Mohammad Kadri Taib dan Ketua Pegawai Eksekutif Mindshare Group, Sheila Shanmugam.

Forum berkenaan juga dihadiri Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Timbalannya, Teo Nie Ching.

Turut hadir Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), M Thilinadan serta Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit dan Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad.

Mengulas lanjut budaya kerja industri media zaman sekarang, Sagau berpandangan budayanya perlu berubah seiring peredaran zaman kerana ia langkah mustahak untuk memastikan kerelevanan industri ketika ini.

Sehubungan itu, beliau berpandangan agar perubahan dasar dalam sesuatu syarikat media dapat digunakan untuk mengemaskini budaya lama dalam bilik berita.

Tambahnya peranan pencipta kandungan atau content creator menjadi watak penting dalam industri media sekarang untuk menyampaikan berita secara berkesan menerusi pelbagai platform media sosial.

Jelasnya, kewujudan pelbagai jenis media sosial juga memerlukan pendekatan yang berbeza, bukan sama kerana setiap platform dan pengguna aplikasi berkenaan jelas memiliki minat berlainan sekali gus memerlukan pencipta kandungan yang arif hal itu.

"Sama ada gunakan perubahan dasar atau ubah budaya bilik berita. Kena juga ikuti apa kecenderungan penonton dan peka dengan aktiviti seharian mereka sebaik mereka bangun tidur.

"Hal ini penting untuk mengetahui apa yang pengguna lakukan setiap hari supaya kandungan yang hendak disampaikan dapat disalurkan dengan berkesan kepada mereka ini.

"Itu sebabnya pencipta kandungan adalah watak paling penting untuk sampaikan berita. Selain itu, mereka kena tahu apa sudut berita yang orang suka untuk tarik perhatian mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 3:30 PM