ANWAR beramah mesra dengan pengunjung pada Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 di WTCKL. FOTO Aizuddin Saad
ANWAR beramah mesra dengan pengunjung pada Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 di WTCKL. FOTO Aizuddin Saad
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan tidak mempunyai pilihan selain mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), supaya projek berkenaan dapat diselesaikan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia berikutan kerajaan telah membelanjakan RM6 bilion bagi projek LCS.

"Ada projek yang on-going yang mesti kita (kerajaan) selesaikan termasuk LCS. Kita tiada pilihan, dah belanja RM6 bilion. Kita tidak boleh tutup, kita kena ambil alih untuk menyelesaikan projek," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai pengumuman Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa Kementerian Kewangan menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV) bagi mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek LCS iaitu BNS, sebagai anak syarikat kepada MOF.

Bagaimanapun Anwar berkata, kerajaan akan mengeluarkan kenyataan lengkap berhubung pengambilalihan syarikat itu.

Sebelum ini pembinaan kapal LCS terpalit kontroversi apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan tiada seunit pun telah disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6.083 bilion menerusi BNS.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 6:16 PM