GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: Polis sudah mengambil keterangan 10 individu berhubung kematian seorang wanita hamil empat bulan yang mayatnya ditemui dalam keadaan terbakar di kawasan belukar kebun kelapa sawit di Jalan Sungai Air Limau, di sini, pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, kesemua individu berusia 20 hingga 50 tahun itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk memberi keterangan hari ini.

"Mereka yang hadir terdiri daripada saksi yang boleh membantu siasatan termasuk ahli keluarga mangsa dan suspek," katanya ringkas ketika dihubungi.

Dalam perkembangan sama, Agus Salim berkata, tiada sebarang penahanan baru dibuat pihaknya.

Beliau berkata, jenazah mangsa berusia 21 tahun yang berada di Hospital Sungai Buloh dijangka menjalani proses bedah siasat jam 9 pagi esok.

Semalam, media melaporkan polis menahan seorang lelaki berusia 20 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian itu di Sungai Besar.

Suspek dan mangsa merupakan pasangan kekasih dan menjalin hubungan selama setahun.

Lelaki itu direman selama enam hari sehingga 29 Mei ini bagi membantu siasatan.

Kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 6:46 PM