Datuk Stephen Rundi Utom tiba bagi  Persidangan Hari Ketujuh Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Ke-19 di bangunan DUN Petra Jaya, Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Datuk Stephen Rundi Utom tiba bagi Persidangan Hari Ketujuh Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Ke-19 di bangunan DUN Petra Jaya, Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
EMPANGAN Bakun. FOTO Arkib NSTP
EMPANGAN Bakun. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Empangan Hidro Elektrik Bakun di Belaga akan diwartakan sebagai Zon Perindustrian Akuakultur (AIZ) bagi meningkatkan pengeluaran ikan dan udang negeri ini.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, empangan itu berpotensi mengeluarkan sebanyak 40,000 tan metrik ternakan akuakultur dan mampu menyumbang pendapatan sebanyak RM500 juta setahun.

Beliau berkata, kementeriannya juga akan terus mengenal pasti tapak yang sesuai di sepanjang kawasan pantai untuk membangunkan lebih banyak Taman Akuakultur bagi mengembangkan pengeluaran hasil ikan dan udang bagi memenuhi permintaan domestik dan antarabangsa.

"Pembangunan AIZ dan Taman Akuakultur adalah inisiatif penting untuk menggalakkan pembangunan mampan industri akuakultur dan menyumbang sebahagian besarnya kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Dr Rundi berkata, setakat ini empat kawasan diwartakan oleh kerajaan Sarawak sebagai AIZ iaitu Empangan Batang Ai di Lubok Antu, Loba Stoh Rambungan di Kuching, Sundar Awat-Awat di Lawas dan Selalang di Sarikei untuk pengeluaran produk akuakultur segar bernilai tinggi.

"Dengan pewartaan empangan itu sebagai AIZ selain kawasan maritim yang luas, Sarawak berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab serantau bagi pengeluaran ikan dan udang," katanya.

Selain itu Dr Rundi berkata, kementeriannya juga merancang untuk mewujudkan kawasan ternakan ikan eksotik bernilai tinggi di Kapit dan Bintulu.

"Jabatan Pertanian Sarawak sudah mengambil inisiatif menaik taraf kemudahan sedia ada di Stesen Induk Perikanan Pedalaman, Song, Kapit bagi melaksanakan penternakan dan pembangunan ikan eksotik seperti empurau, semah, labang dan tengadak dari Katibas dan Balleh dengan peruntukan awal RM105,000," katanya.

Empurau adalah ikan termahal di negara ini dengan harganya boleh mencecah RM800 hingga RM2,000 sekilogram.

From: Mohammad Roji

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 5:07 PM